06 Ogos, 2008

DEFINASI KOMPANG



Pengertian dan Maksud KOMPANG


Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat kaum Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang. Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing atau kulit lembu.


Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu yang bertujuan untuk menegangkan permukaan kompang dan menguatkan bunyinya. Tetapi pada masa kini gelung plastik digunakan sebagai menggantikan rotan yang sukar didapati sekarang.


Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab. Kompang biasanya berukuran enam belas inci (16”) dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang menggunakan sebelah tangan sementara dipalu pula dengan sebelah tangan yang lain.


Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari – jari atau tapak tangan mengikut rentak yang sesuai. Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri kahwin dan upacara – upacara tradisi lain.


Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi Bum diperolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup/rapat, manakala bunyi Pang pula diperolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.

Tiada ulasan: