11 Ogos, 2008

07 Ogos, 2008

Persembahan Pertandingan Kompang Terbuka Pesta Sungai Melaka

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera kepada Pelawat laman Web ini. Saksikanlah persembahan kami melalui video clip yang kami paparkan ini. Semoga anda terhibur dan Kompang Seni Ezhar menjadi kebanggaan masyarakat kita.Seni EZHAR merupakan kesenian orang melayu yang tiada tolok bandingnya sehinggalah kehari ini. Ayuh, bangunlah Pemuda dan Pemudi Melayu kekalkan tradisi ini hingga keakar umbi.(klik di label : Koleksi persembahan Kompang)

06 Ogos, 2008

DEFINASI KOMPANG



Pengertian dan Maksud KOMPANG


Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat kaum Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang. Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing atau kulit lembu.


Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu yang bertujuan untuk menegangkan permukaan kompang dan menguatkan bunyinya. Tetapi pada masa kini gelung plastik digunakan sebagai menggantikan rotan yang sukar didapati sekarang.


Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab. Kompang biasanya berukuran enam belas inci (16”) dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang menggunakan sebelah tangan sementara dipalu pula dengan sebelah tangan yang lain.


Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari – jari atau tapak tangan mengikut rentak yang sesuai. Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri kahwin dan upacara – upacara tradisi lain.


Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi Bum diperolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup/rapat, manakala bunyi Pang pula diperolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.

SEJARAH SENI EZHAR



SEJARAH SILAT DAN KOMPANG EZHAR


Perkembangan Silat Ezhar mempunyai kaitan rapat dengan pergerakan Kesenian EZHAR. Silat ini berasal dari sebuah kampung yang bernama Bentan di Jawa Barat, Indonesia. Ia diasaskan oleh Munaji bin Muhammad yang juga dikenali sebagai Kang Munaji. Pada mula penubuhan anak muridnya tidaklah begitu ramai namun berbekalkan semangat juang yang tinggi, Silat ini telah dibawa oleh Kang Munaji ke Bukit Radin Mas, Tanjung Pagar, Singapura.

Mahaguru Kang Munaji mempunyai seorang anak murid yang sangat setia dan sering bersamanya yang bernama Jasman bin Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama Kang Jasman. Mahaguru Kang Munaji dan Kang Jasman mendapat ilham untuk mencipta gendang untuk digandingkan dengan ilmu persilatan. Lama - kelamaan gendang tersebut diubahsuai untuk menjadi sebuah kompang.

Setelah beliau meninggal dunia, Kang Jasman telah memperkembangkan Seni Silat dan Kompang EZHAR ke Singapura. Diantara anak murid Kang Jasman di Singapura ialah Haji Ramli bin Haji Dawam dan Muhammad bin Khalil. Mahaguru Ramli kemudiannya telah membawa kesenian EZHAR ini dari Singapura ke Kampung Sungai Duyung, Melaka dan seterusnya membawa kesenian ini ke Kampung Chendana, Kuala lumpur. Dari situ berkembanglah Kesenian Silat dan Kompang EZHAR ke seluruh Semenanjung Malaysia dan seterusnya menjadi kebanggaan Pemuda dan Pemudi.

Perkataan EZHAR adalah singkatan dari perkataan Suci / Setia Hati (S dan H). Dalam bahasa Indonesia S disebut Esh dan H disebut Ha. Lama – kelamaan ia disebut EZHAR.

1. Assalamualaikum, kami mulakan,
Para hadirin, pendengar budiman,
Pasukan EZHAR, turut bersuka,
Meraikan Majlis, Majlis ..............

2. Asal EZHAR, darilah Bentan,
Kang Munaji, punya tajaan,
Di bawa ke Singapura, oleh Kang Jasman,
Hingga menjadi, Kompang Banggaan.

3. Seni EZHAR, nama diberi,
Di bawah pimpinan, Mahaguru Ramli,
Muridnya ramai, tidak terperi,
Terdirinya dari, Pemuda dan Pemudi

4. Sekian sahaja, persembahan diberi,
Pasukan EZHAR, mengundur diri,
Salah dan silap, harap dimaafi,
Diizin Allah, berjumpa lagi.

05 Ogos, 2008

Senarai Nama Ahli Kelab Kompang Ezhar Taman Rambai Utama Bagi Tahun 2009 <> Terkini


No. Nama Umur


1. Zali bin Bachik 35 Tahun
2. Muhamad Shukri bin Abd Ghani 20 Tahun
3. Muhamad Musri bin Abd Ghani 15 Tahun
4. Ashiqin bte Abdullah 18 Tahun
5. Muhd Arif bin Abdullah 15 Tahun
6. Nor Aisyah bte Abdullah 13 Tahun
7. Muhd Amirul bin Abdullah 11 Tahun
8. Muhamad Adam Asyraf bin Mustafa Kamal 13 Tahun
9. Puteri Nur Ain Bte Mustafa Kamal 10 Tahun
10. Nor Shahida bte Mohd Yusof 14 Tahun
11. Muhamad Hidayat bin Samsudin 10 Tahun
12. Muhd Syahmi bin A. Ghani 17 Tahun
13. Muhd Hamizan bin A. Ghani 15 Tahun
14. Farzana Bte A. Ghani 10 Tahun
15. Mohamad Iskandar bin Marzuki 15 Tahun
16. Nur Artika bte Adenan 14 Tahun
17. Muhamad Amirul Fauzan bin Johari 13 Tahun
18. Nurul Natasha bte Roslan 12 Tahun
19. Muhamad Shafiz bin Mohd Redzuan 18 Tahun
20. Nur Amelia bte Mohd Redzuan 15 Tahun
21. Fazlina bte Selamat Shah 16 Tahun
22. Muhammad Zulhilmi bin Juhari 9 Tahun
23. Muhamad Sabree bin Mohd Redzuan 12 Tahun
24. Mohd Feilly bin Talib 12 Tahun
25. Mohd Aidil bin Marzuki 12 Tahun
26. Nur Annisa bte Abdullah 8 Tahun

LOGO DAN LAMBANG SENI EZHAR



Lambang Persatuan / Kelab merupakan perkataan EZHAR di bahagian atas. Bintang Berbucu Lima dengan Bulan Sabit melambangkan Agama Islam, Agama Rasmi Negara Kita. Daun Keladi 13 jalur melengkung di kiri dan kanan melambangkan 13 Negeri Berdaulat di dalam MALAYSIA dan juga membawa pengertian 13 Rukun Sembahyang.

Bulan Sabit, Bintang, Daun Keladi, Warna Merah, Kuning dan Hijau merupakan 6 perkara yang menghiasi lambang EZHAR membawa pengertian Kepercayan dan Keyakinan kepada RUKUN IMAN.

Huruf K.M.S.H yang tertulis di bahagian bawah lambang membawa maksud ‘KOMPANG MELAYU SETIA HATI’

KETERANGAN LAMBANG

EZHAR : Suci Hati / Setia Hati
Warna Merah : Keberanian Mempersembahkan Seni
Warna Kuning : Kedaulatan Raja – Raja Melayu
Warna Hijau : Kesuburan dan Warna Islam
Bintang Berbucu 5 : Rukun Islam dan Rukun Negara

PEMILIHAN DAUN KELADI

Pemilihan Daun Keladi sebagai hiasan pada lambang EZHAR membawa maksud :-
1. Sebagai mana pohon ini hidup menjalar, subur dan mudah tumbuh walau dimana pun, maka begitulah harapan Pakguru dan Persatuan agar seni ini akan berkembang sepanjang masa.

2. Getah yang mengalir di dalam pohon ini membawa kiasan ianya membawa kegatalan kepada ahli – ahli yang ingin mempelajari kesenian ini.

Matlamat Visi & Misi KKETRU


MATLAMAT

Penubuhan Kelab Kompang EZHAR Taman Rambai Utama adalah bertujuan untuk memperkenalkan alat tradisional nenek moyang kita yang berkurun lamanya kepada generasi baru serta menerapkan ilmu kesenian dan disiplin kepada ahli – ahli yang menyertainya.

VISI

Memupuk semangat golongan remaja mencintai kesenian Pukulan Kompang EZHAR yang menjadi kebanggaan masyarakat melayu pada zaman Kang Munaji yang asalnya dari Bentan, Jawa Barat Indonesia

MISI

Merealisasikan matlamat kecemerlangan kesenian kompang EZHAR melalui sahsiah penubuhannya.

04 Ogos, 2008

SEJARAH PENUBUHAN KKETRU



SEJARAH PENUBUHAN KKETRU


Kelab Kompang EZHAR Taman Rambai Utama (KKETRU), Melaka Tengah, Melaka bernombor pendaftaran 0304-09-MEL telah ditubuhkan pada Ogos 2004 bersamaan 1425H bertempat di Lorong RU5. Guru yang mengajar Seni Ezhar ialah Encik Juhairi Bin Ahmad Salleh dengan jumlah keahlian seramai 20 orang. Selain dari Cikgu Juhairi, KKETRU juga telah mendapat ilmu kesenian EZHAR dari Cikgu Yak’mat Bin Jalil . Setelah usia KKETRU menjangkau sembilan bulan, maka tanggal 21 Mei 2005 ianya telah di lancarkan dengan rasminya oleh yang berbahagia Sidang Jamil Bin Manap, Pengerusi JKKK Tanjung Minyak, Melaka. Bermulanya dari situ, KKETRU telah berkembang dan dikenali ramai sehingga mendapat banyak jemputan untuk majlis-majlis keramaian. KKETRU juga seringkali di undang untuk membuat persembahan di hotel-hotel sekitar Bandar Melaka dan luar Negeri Melaka.


Awal tahun 2009 KKETRU telah mendapat kelulusan daripada Pertubuhan Malaysia dengan nombor pendaftaran ‘0304-09-MEL’ serta melancarkan lawan web iaitu kketru@yahoo.com / www.kketru.blogspot.com.


Pada tahun 2006, KKETRU telah menyahut cabaran memasuki pertandingan Kompang Khas sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1427H anjuran Jabatan Agama Islam Melaka. Dalam pertandingan itu KKETRU telah menjadi Juara buat julung kalinya. Selain dari itu KKETRU telah mengambil bahagian dalam perbarisan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1427H dan mendapat tempat kedua dalam kategori kompang.


Pada tahun 2007 & 2008, sejarah berulang kembali apabila KKETRU telah dinobatkan sekali lagi sebagai Juara Kompang Khas. KKETRU juga telah dinobatkan sebagai juara dalam perbarisan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1428H. Selain daripada pertandingan kompang Sambutan Maulidur Rasul, KKETRU juga turut memeriahkan Karnival Jom Heboh anjuran TV3 di MITC Melaka 2008 dengan menjuarai Cabaran Raja Kompang Harian Metro. KKETRU juga telah memartabatkan Parlimen Tangga Batu dan DUN Paya Rumput dengan menjuarai Pertandingan Kompang Terbuka Melaka sempena Pesta Sungai Melaka 2008. Pada awal Mac 2009 KKETRU telah sekali lagi menjuarai Pertandingan Kompang Khas dan Naib Juara Perbarisan Kategori Kompang sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 1430H/2009M.


Buat julung kalinya pada tahun 2008 KKETRU telah terlibat dalam Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan ke – 51 Tahun Peringkat Negeri Melaka bersama-sama Pasukan EZHAR Gabungan Negeri Melaka. Sepanjang Tahun 2006, 2007 & 2008 pelbagai aktiviti telah dijalankan demi menjaga kebajikan dan kepentingan ahli-ahli KKETRU.


Sehingga ke hari ini, jumlah keseluruhan Ahli-ahli KKETRU meningkat hampir 60 orang. Matlamat KKETRU pada masa akan datang adalah untuk menambahkan keahlian dan memperkembangkan Seni EZHAR ini keperingkat yang lebih tinggi.


Sekianlah sahaja serba sedikit sejarah penubuhan Kelab Kompang EZHAR Taman Rambai Utama, Melaka Tengah, Melaka

SECANGKIR MUTIARA



SECANGKIR MUTIARA

ASSALAMUALAIKUM W.B.T


Bersyukur saya ke hadrah Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, Profil Kelab Kompang Ezhar Taman Rambai Utama telah dapat diterbitkan. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan profil ini.


Kompang merupakan satu permainan tradisional yang diamalkan sejak zaman nenek moyang kita lagi. Ia melambangkan perpaduan kaum Melayu. Dari sini,kita dapat menarik lebih ramai pemuda dan pemudi agar dapat melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti yang berfaedah sekaligus menjadikan ia sebagai satu kebanggaan pada masa akan datang. Seni EZHAR merupakan batu loncatan kepada pemuda dan pemudi untuk menunjukkan kreativiti dan bakat dalam bidang tradisional.


Alhamdulillah, setelah hampir 5 tahun KKETRU ditubuhkan, kelab ini semakin mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Dengan kerjasama ahli yang kini mencecah 50 orang serta bantuan ahli – ahli jawatankuasa, KKETRU terus berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah yang merumitkan. Pelbagai aktiviti telah kami jalankan untuk menarik minat pemuda dan pemudi.


Akhir kata, saya berharap agar KKETRU terus cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa akan datang. Semoga segala usaha murni yang dirancang pada tahun- tahun akan datang berjalan dengan jayanya.


Sekian, terima kasih.


“KOMPANG EZHAR CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG”



NORHAFIZAH BTE MOHD YAHYA
Setiausaha,
Kelab Kompang Ezhar,
Taman Rambai Utama,
Melaka Tengah, Melaka.

KATA-KATA ALUAN




KATA – KATA ALUAN



Assalamualaikum w.b.k



Segala puji – pujian hanya bagi Allah s.w.t Tuhan sekelian alam serta Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan kita Muhammad S.A.W serta kaum kerabat dan sahabatnya sekalian. Salam sejahtera dan syukur nikmat diucapkan kepada semua pembaca profil KKETRU, Melaka.


Saya selaku Pengasas Kelab Kompang EZHAR Taman Rambai Utama, Melaka Tengah, Melaka mengucapkan tahniah kepada semua AJK dan Ahli yang terlibat dalam merencanakan “Profil KKETRU” yang sungguh menarik ini. Disini juga ingin diucapkan ribuan terima kasih kepada AJK dan ahli yang telah melantik saya menjadi YDP dalam mentadbirkan perjalanan KKETRU ini.


Saya rasa bersyukur kerana KKETRU telah didaftarkan dengan Pertubuhan Malaysia dengan nombor pendaftarannya ialah ‘0304-09-MEL’ serta mempunyai lawan web dan laman blog sendiri iaitu ‘ kketru@yahoo.com / www.kketru.blogspot.com ‘.


Seni EZHAR merupakan satu permainan kompang yang bukan sahaja dimainkan pada majlis – majlis perkahwinan tetapi juga untuk majlis – majlis keramaian seperti Sambutan Maulidur Rasul, Majlis Berkhatan dan Majlis-Majlis Rasmi. Seni EZHAR merupakan kesenian turun – temurun nenek moyang kita sejak dahulu lagi.



Saya mendoakan agar perjalanan Kelab Kompang EZHAR Taman Rambai Utama akan terus berjaya dalam mencapai matlamat mereka.



Assalamualaikum saya mulakan,
Para Hadirin Pendengar Budiman,
Permainan Kompang Kami Sembahkan,
EZHAR Rambai Utama Jadi Idaman.



Sekian terima kasih.



“ KOMPANG MELAYU SUCI HATI ”



Yang benar,



Cikgu Juhairi bin Ahmad Salleh
Yang Dipertua
Kelab Kompang Taman Rambai Utama
Melaka Tengah, Melaka.

03 Ogos, 2008

KELAB KOMPANG EZHAR TAMAN RAMBAI UTAMA



Bicara Kata



Selamat Datang Ke
Kelab Kompang Ezhar Taman Rambai Utama




Assalamualaikum kepada semua pelawat Kompang.net . Halaman ini dibangunkan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia tentang budaya orang Melayu iaitu Silat dan Kompang. Kami ahli-ahli EZHAR Taman Rambai Utama ingin menjadikan halaman ini platform bagi segala aktiviti-aktiviti kesenian yang kami jalankan disamping ingin berkongsi pengalaman dengan ahli-ahli EZHAR dari kawasan lain.

Halaman ini masih lagi di dalam pembinaan dan masih belum siap sepenuhnya. Apabila ianya siap kelak, halaman ini akan mempunyai ruangan forum dimana ahli-ahli cawangan, ahli-ahli cawangan lain serta peminat-peminat kompang diseluruh Malaysia dapat bertukar-bertukar pandangan dan pengalaman di antara satu sama lain. Disamping itu kami juga akan meletakkan pelbagai maklumat yang berkaitan dengan EZHAR.

Silalah lawati kami dari semasa ke semasa untuk mengikuti perkembangan halaman web ini.




Salam Mesra






Penulis Blog



ZALI BIN BACHIK



zaliiii@yahoo.com